Wanita Solehah, Sempurnakah Kecantikkan Yang Kita Pamerkan?

Semoga lebih ramai para wanita yang sedar akan keindahan mereka itu bukanlah untuk ditunjuk atau ditayang dengan sebegitu mudah. Sesungguhnya wanita solehah adalah hiasan duniawi yang tak ternilai harganya.

Setiap wanita lahir dengan fitrah yang sukakan kecantikan. Tidak asing lagi, golongan wanita sangat gemar berhias dan bercantik-cantik demi nampak menarik di mata pemerhati. Tambahan lagi dengan kemodenan dan kepelbagaian fesyen serta produk kencantikan hari ini memberi ujian kepada para wanita untuk memahami batasan dan keperluan konsep ‘berhias’ itu.

Masih ramai yang kurang arif tentang batasan dalam berhias, bahkan ada yang tidak sedar atau tanpa sengaja melangkaui batasan yang telah ditetapkan syariat dalam usaha mereka mencantikkan diri. Lantas, hal ini membuatkan mereka semakin menuju ke arah ‘tabbaruj’ tanpa sedar.

Kegagalan memahami konsep ‘tabarruj’ ini mempunyai pelbagai implikasi yang menjurus ke arah budaya yang tercela dan lari daripada landasan Islam.

Firman Allah ;

“Katakanlah kepada wanita beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa kelihatan padanya, dan hendaklah mereka melepaskan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka.”

Surah Al-Nur : 31
Ayat ini adalah di antara nas yang menjadi dasar kepada asas berpakaian dan berhias untuk wanita Islam. Sesungguhnya batasan aurat bagi wanita adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua telapak tangan.

Dalam ayat lain pula, Allah berfirman;

“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkahlaku (tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu.”

Al-Ahzab: 33
Manakala ayat ini pula melarang para wanita bertabarruj seperti orang Jahiliah terdahulu yang mengenakan pakaian dengan hiasan yang berlebihan, berpakaian nipis dan menampakkan tubuh badan mereka.

Dikatakan wanita-wanita zaman Jahiliah suka menarik perhatian kaum lelaki dengan membunyikan gelang kaki yang dipakai. Disebabkan itulah, tabarruj diertikan sebagai ‘sengaja memperlihatkan keelokkan mahupun kecantikan diri sendiri yang sepatutnya wajib ditutup’.

Perlu diingatkan bahawa konsep ‘tabarruj’ yang dilarang oleh Islam adalah membuka aurat berdasarkan sesiapa yang mereka berhadapan. Bermakna, jika hal ini dilakukan di hadapan lelaki bukan muhrim, wanita tersebut sudah tergolong dalam kumpulan tabarruj.

Namun, adakah tabarruj muncul kerana nafsu dan keinginan wanita?

Islam tidak melarang para wanitanya untuk berhias dan bersolek demi kelihatan cantik. Namun terdapat beberapa batasan yang perlu diikuti. Bahkan seseorang wanita itu perlu bijak untuk membezakan tujuan bersolek itu seperti menarik perhatian suami.

Sebarang solekan atau cara perpakaian itu tidak menjolok mata dengan hiasan mahupun warna yang terlalu menarik dan berlebih-lebih. Bahkan niat itu bukanlah bertujuan riak atau menunjuk-nunjuk, bukan juga untuk menarik perhatian atau mahu dinilai oleh sesiapa.

Kadang-kadang terdapat wanita yang mengalami beberapa masalah, antaranya wajah yang pucat, tidak bermaya, mahupun kulit mukanya yang bermasalah ataupun terdapat parut. Hal ini mungkin menimbulkan umpatan bahawa wanita tersebut tidak pandai menguruskan diri, bahkan membuatkannya rendah diri dan tidak berkeyakinan apabila berhadapan dengan orang ramai. Bermekap merupakan salah satu cara yang boleh menyembunyikan kecelaan tersebut, asalkan masih bersederhana serta menampilkan ciri-ciri wanita yang berpenampilan dan kemas.

Bagi wanita yang berhias demi menjaga ketrampilan dan urusan kerjaya mesti memohon izin suami dalam mengenakan mekap dan bersolek. Bahkan sepatutnya kecantikan diri itu diutamakan ketika berada di samping suami bukannya di luar rumah sahaja.

Selain itu, pastikan barangan solek yang digunakan halal, bersih dan tidak terlalu mahal sehingga berlakunya pembaziran. Para wanita harus faham bahawa bersolek itu hanya untuk mengelakkan diri dari kelihatan kusut dan tidak terurus, menjaga kesihatan kulit, bahkan berhias rapi itu sebagai tanda persediaan untuk berurusan.

Namun, bagaimana pula dengan hukumnya memakai minyak wangi?

Sabda Rasulullah SAW;

“Sesiapapun wanita yang memakai wangian kemudian melewati suatu kaum agar mereka mencium baunya, bererti dia telah berzina.”

Hadis Riwayat Imam an-Nasaaiy
Jadi, pakailah winyak wangi itu sekadar untuk menutup bau badan, dan bukannya untuk dihidu oleh orang lain. Terdapat beberapa hukum tentang wanita dan pemakaian minyak wangi;

Harus

Hukum memakai minyak wangi adalah harus bagi wanita yang suaminya berada di rumah, terutamanya ketika seseorang wanita itu ingin melayan suaminya.

Sunat

Sunat bagi wanita berwangian ketika berada di rumahnya, ketika ingin menunaikan solat dan beribadah dalam rumah, dan juga sewaktu menyambut tetamu wanita.

Makruh

Makruh hukumnya bagi wanita yang memakai minyak wangi ketika berpuasa.

Haram

Haram bagi wanita memakai minyak wangi di luar rumahnya.

Sebagai seorang Muslimah yang disanjungi, golongan wanita seharusnya meninggikan martabat mereka seperti yang disarankan syariat, iaitu;

• Menjaga pergaulan, dan jarak hubungan dengan kaum lelaki.
• Menundukkan pandangan.
• Berpakaian menurut syariat Islam.
• Menjaga pertuturan ketika bercakap dan berjalan.
• Tidak menarik perhatian kaum lelaki, dengan minyak wangi atau melunakkan suara.

Namun, hari ini masih ramai para wanita yang gemar bersolek dengan mengenakan pelbagai persiapan yang melebihi batasan syarak. Malangnya mereka berhias begini hanya apabila berada di luar rumah sahaja. Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan dosa tetapi bimbang dengan pelbagai permasalahan lain yang membabitkan jenayah rogol dan gangguan seksual.

Semoga lebih ramai para wanita yang sedar akan keindahan mereka itu bukanlah untuk ditunjuk atau ditayang dengan sebegitu mudah. Sesungguhnya wanita solehah adalah hiasan duniawi yang tak ternilai harganya.

KONGSIKAN TAZKIRAH INI