Perkara Yang Membatalkan Puasa.

0

Allah swt telah memfardhukan puasa Ramadhan ke atas umatnya, Allah juga telah mensyariatkan puasa-puasa sunat yang lain selain daripada fardhu ini, serta menjanjikan ganjaran yang sangat besar, yang menjadi idaman bagi setiap orang yang beriman. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah akan jauhkan mukanya daripada api neraka sebanyak tujuh puluh tahun.” [Muttafaq alaih].

Allah telah meletakkan garis panduan dalam melakukan puasa dan sekali-kali tidak membenarkannya untuk dilanggar. Maka menjadi kewajipan bagi setiap muslim mengetahui dan mempelajarinya untuk menjaga ibadat yang besar ini.

Sebuah buku berjudul “Mufthirat as-Siyam al-Mu’asirah” (Perkara-perkara Semasa Yang Membatalkan Puasa) yang ditulis oleh Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil, pensyarah Universiti al-Qasim, Arab Saudi, [Dar Ibnu Jauzi, Arab Saudi, Cetakan Pertama, 1426H/2005M.

Beliau telah mengumpul dalam kitab ini perkara-perkara semasa yang berlaku pada zaman ini, yang berkaitan dengan pembatalan puasa.

Perkara-perkara yang membatalkan puasa sebagaimana yang disepakati (Ittifaq) ulama’ berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis dan ijma’ ialah empat perkara;

1) Makan
2) Minum
3) Jima’ (Bersetubuh)

Dalilnya ialah firman Allah swt yang bermaksud: “…Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam…”. [Al-Baqarah:187].

4) Haid dan Nifas.

Dalilnya hadis Abu Said al-Khudri yang bermaksud: Sabda Rasulullah saw: “Bukankah perempuan itu apabila mereka haid, tidak bersolat dan tidak berpuasa…”. [Bukhari: 304, Muslim: 79].

Di bawah ini ialah ringkasan dan kesimpulan yang dibuat oleh penulis;

1- Pendapat yang mengatakan “al-Jauf”, iaitu rongga yang membatalkan puasa apabila masuk makanan ke dalamnya adalah “Ma’idah” (perut) sahaja, tidak termasuk lubang-lubang lain di badan manusia.

2- Ulama’ semasa berbeza pendapat tentang “Bakhkhah ar-Rabwu” (penyembur gas untuk penyakit lelah). Pendapat yang paling hampir dengan kebenaran (pada pandangan penulis) adalah tidak batal.

3- Pil yang diletakkan di bawah lidah bagi pesakit jantung, yang dihisap secara terus dan tidak masuk ke dalam rongga adalah tidak membatalkan puasa.

4- Alat yang dimasukkan ke dalam ma’idah (usus) untuk mengesan penyakit juga tidak membatalkan puasa. Kecuali jika diletak ubat/minyak pada alat tersebut maka ia boleh membatalkan puasa.

5- Ulama’ semasa juga berbeza pendapat tentang ubat titis ke dalam hidung. Ada yang mengatakan tidak batal, tetapi majoriti mengatakan batal. Pendapat yang paling hampir dekat dengan kebenaran (pada pandangan penulis) adalah tidak batal.

6- Gas oksigen tidak membatalkan puasa kerana ia hanyalah angin/udara yang tidak terdapat anasir lain di dalamnya.

7- Begitu juga gas yang disedut melalui hidung, hukumnya sama dengan penyembur lelah (no. 2).

8- Bius setempat tidak membatalkan puasa. Manakala bius penuh sepanjang hari membatalkan puasa tetapi sekiranya pesakit tersedar dan masih berbaki waktu puasa hari tersebut tidak batal puasanya.

9- Ubat titis ke dalam telinga juga tidak membatalkan puasa kerana rongganya tidak bersambung dengan “Jauf”.

10- Ubat titis mata, mengikut majoriti ulama’ semasa, tidak membatalkan puasa.

11- Suntikan ubat melalui kulit, urat dan otot mengikut majoriti ulama’ semasa tidak membatalkan puasa.

12- Memasukkan air dan benda yang boleh mengenyangkan seperti glukos ke dalam urat, mengikut majoriti ulama’ semasa adalah membatalkan puasa.

13- Melumur minyak, losyen dan sebagainya pada kulit, tidak membatalkan puasa.

14- Memasukkan alat seperti kamera, untuk mengesan penyakit ke dalam urat/saluran jantung adalah tidak membatalkan puasa.

15- Begitu juga memasukkan alat ke dalam perut untuk mengesan penyakit, tidak membatalkan puasa. Tetapi sekiranya sampai kepada “Ma’idah” (usus), boleh membatalkan puasa.

16- Dialisis (mencuci darah) yang mengandungi ubat-ubat yang boleh mengenyangkan atau memberi kekuatan boleh membatalkan puasa, sebaliknya kalau setakat membersihkan darah tanpa ubat-ubatan tidak membatalkan.

17- Menggunakan cecair/sabun pencuci alat sulit wanita tidak membatalkan puasa.

18- Memasukkan ubat ke dalam dubur untuk penyakit bawasir atau mengurangkan kepanasan suhu badan tidak membatalkan puasa, kerana ia tidak sampai kepada ma’idah.

19- Memasukkan alat pengesan penyakit atau ubat melalui lubang zakar tidak membatalkan puasa.

20- Menderma (mengambil) darah. Terdapat khilaf yang begitu besar dikalangan ulama’, tetapi pendapat yang lebih kuatnya tidak batal kerana dikiaskan kepada berbekam.

21- Begitu juga mengambil sedikit darah untuk ujian pemeriksaan tidak membatalkan puasa.

Demikianlah beberapa masalah dan pandangan yang dipilih oleh beliau.

Bagi para pembaca yang mempunyai keahlian dalam bidang agama bebas untuk menilai manakah pendapat yang kuat berdasarkan dalil dan ta’lil yang dikemukakan, wallahu a’lam.

Leave A Reply

Your email address will not be published.