Ketahui Hal Yang Sebenar Kenapa Perlu Ada 0bjek Di Hadapan Orang Solat?
Tuan/puan mungkin pernah atau biasa melihat seseorang yang bersolat berseorangan dan di hadapannya terdapat sebuah objek bukan?
Kadang-kadang objeknya adalah beg, tongkat, kayu rehal, kerusi, bangku, kipas angin atau bakul. Ia sengaja diletakkan di hadapan mereka sebelum bersolat. Perbuatan begini mereka lakukan jika bersolat di ruang yang terbuka.
Jika di sana ada dinding atau tiang, yakni objek yang kukuh dan lebih kekal, nescaya mereka memilih untuk melakukan solat mengadap dinding atau tiang itu. Itu yang lebih utama berbanding objek-objek di atas. Yang pastinya, mereka tidak membiarkan di hadapan mereka kosong tanpa objek. Itu bagi orang yang bersolat seorang diri.
Bagi yang solat berjemaah pula, mungkin tuan/puan biasa melihat hanya imam sahaja yang melakukan perkara di atas, sedangkan makmumnya tidak.
Kenapa mereka perbuat begitu?
Hal ini berlaku demikian kerana mereka faham akan sunnah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam!
Sutrah adalah Sunnah Nabi SAW Ketika Bersolat
Meletakkan objek di hadapan sebelum mengerjakan solat adalah sunnah Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam. Objek ini merupakan pengadang atau pembatas kawasan solat atau istilah yang digunakan oleh Nabi ialah sutrah.
Berikut adalah beberapa hadith Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam mengenai sutrah :
1)
كَانَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقِفُ قَرِيبًا مِنَ السُّتْرَةِ, فَكَانَ بَيْنَهُ وَ بَيْنَ الْجِدَارِ ثَلَاثَةُ أَذْرُعٍ
Maksudnya: “Adalah Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersolat dekat dengan sutrah (pembatas), maka adalah di antara Baginda dan dinding tersebut adalah 3 hasta.” (HR al-Bukhari dan Ahmad)
2)
بَيْنَ مَوْضِعِ سُجُودِهِ وَالْجِدَارِمَمَرُّ شَاةٍ
Maksudnya: “Jarak di antara tempat sujud Baginda dengan dinding lebih kurang cukup untuk dilalui seekor anak kambing.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
3)
كَانَ اِذَا صَلَّى (فِي فَضَاءٍ لَيْسَ فِيهِ شَيْءٌ يَسْتَتِرُبِهِ) غَرَزَ بَيْنَ يَدَيْهِ حِرْبَةً فَصَلَّى وَالنَّاسُ وَرَاءَهُ
ِMaksudnya: “Apabila Baginda bersolat (di tempat yang tiada sesuatu pun menutupi yakni tempat terbuka), beliau menancapkan tombak di depannya lalu bersolat, dan para sahabat bersolat di belakangnya.” (HR al-Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah)
4)
وَاَحْيَانًا كَانَ يُعَرِّضُ رَاحِلَتَهُ فَيُصَلِّى اِلَيْهَا
Maksudnya: “Kadang-kadang Baginda melintangkan haiwan tunggangannya di hadapan Baginda, lalu bersolat mengadap haiwan tersebut.” (HR al-Bukhari dan Ahmad)
5)
صَلَّى – مَرَّةً – اِلَى شَجَرَةٍ
Maksudnya: “Baginda pernah bersolat mengadap ke pokok.” (HR an-Nasa’i dan Ahmad dengan sanad yang sahih)
6)
اِذَا وَضَعَ أَحَدُكُمْ بَيْنَ يَدَيْهِ مِثْلَ مُؤْخِرَةِ الرَّحْلَ فَلْيُصَلِّ وَلَا يُبَالِي مَنْ مَرَّ وَرَءَ ذَلِكَ
Maksudnya: “Apabila seseorang di antara kamu telah meletakkan benda atau barang setinggi kayu bahagian belakang pelana, solatlah dengan tidak perlu menghiraukan orang yang melalui di sebelah benda itu.” (HR Muslim dan Abu Daud)
Itulah beberapa hadith yang sempat dikongsikan di sini untuk kita sama-sama fahami bahawa bersutrah iaitu meletakkan objek pembatas ketika bersolat memang suatu sunnah Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam. Sayangnya, pengetahuan mengenainya sangat kurang di kalangan masyarakat kita.
Secara Ringkas
Secara ringkas mengenai hukum sutrah ialah seperti berikut :
Ulama berbeza pandangan mengenai hukum bersutrah, samada wajib atau sunat. Imam-imam mazhab yang empat mengatakan hukum sutrah ketika bersolat adalah sunat.
Yang terbaik adalah bersutrah ketika solat, iaitu dengan meletakkan objek sebagai pembatas kawasan solat, sebagai mengikuti perbuatan Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam yang biasa melakukannya.
Apabila bersolat seorang diri, sutrah diadakan oleh orang bersolat sendirian itu. Apabila bersolat secara berjemaah, sutrah diadakan oleh imam sahaja. Makmum tidak perlu mendirikan sutrah kerana sutrah makmum ialah sutrah imam yang diikutinya.
Jika tiada sutrah, bolehlah dibuat garisan sebagai ganti sutrah.
Jarak antara tempat sujud dan sutrah ialah sekadar saiz jarak yang membolehkan anak kambing melaluinya. (bukan sebab hendak beri orang atau anak kambing melaluinya. Ia adalah untuk anggaran jarak.)
Jika ada orang hendak melalui kawasan antara orang yang bersolat dan sutrah, maka hendaklah orang bersolat itu menahan dan melarang.
Semoga dengan mengetahui hal ini, kita semua dapat menghidupkan sunnah bersutrah ketika melakukan solat, in shaa’ ALLAH, amin. Wallahu A`lam.
Kredit: rencahrasa