Hukum Makan Belangkas Dan Telurnya Dalam Islam

Boleh Makankah? Inilah Hukum Makan Belangkas Dan Telurnya Dalam Islam, Ini Jawapannya | Apa Hukum Makan Belangkas Dan Telur Belangkas

Entry kali ni kita ambik tahu sikit pasal hukum memakan belangkas dan telurnya . Sebab semalam lepas aku hantar mak balik Jeram, aku singgah pantai remis sekejap.

Itupun sebab Kak Laila suruh aku belikan belangkas untuk dijual kat MMA .Dan nak dijadikan cerita , kebetulan orang yang jual belangkas tu pulak tengah bakar belangkas .

Dia offer aku suh ( aku minta nak rasa pun yer jugak ) rasa . Bukan sebelum ni tak pernah makan , pernah jer…masa aku kecik2 beringus lagi kot . Tu dah lupa rasanya camner .

Kak Laila pun pernah bagi aku rasa , belangkas masak asam pedas . Bagi aku oklah rasanya .Tapi yang semalam tu rasa belangkas bakar dia memang heaven , betul-betul berbeza rasanya dengan yang dimasak rebus atau di masak asam pedas.

Tak payah nak bubuh perasa apa-apa dah , cuma bakar sahaja sampai kering air nya kemudian kopek dan buang racun yang tersembunyi . Bentuk dia macam hempedu dalam ayam tu . Buang jer racun dia tu dah selamat untuk dimakan.

Isi dia manis macam isi ketam , telur dia rasa macam kau tengah kunyah kacang badam , lemak masin .Tak payah nak tambah-tambah garam atau apa-apa perasa .Bila aku updet kat FB , ada sorang kawan komen katanya belangkas haiwan 2 alam .

Tapi setahu aku tak . Belangkas macam ketam jugak . Naik ke darat untuk bertelur . Tak leh hidup lama kat darat .Tapi takper , bab hukum ni kita serah pada yang pakar untuk menjawab . Semoga dapat bantu jelaskan pada yang masih was-was dengan hukum makan belangkas.

Hukum Makan Belangkas Dan Telurnya

Belangkas ialah sejenis haiwan yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar. Belangkas mudah ditangkap di tepi-tepi pantai kerana tidak menggigit. Belangkas adalah dari famili Limulidae.

Nama saintifik belangkas yang hidup di pinggir pantai ialah tachypleus gigas dan yang ditemui di kawasan paya ialah carcinoscorpius rotundicauda.

Haiwan ini merupakan artropod laut yang bentuk badannya mirip kepada ‘ketopong besi’ tentera dan juga mempunyai ekor yang panjang dan tajam.Ia boleh mencapai saiz sehingga 51 cm (20 inci).

Mana-mana anggotanya yang putus boleh tumbuh semula dan ia juga mempunyai sistem keimunan yang menakjubkan.Binatang ini oleh kerana sifatnya berada dalam air, maka ia adalah termasuk di dalam binatang bahriatau ma’i. Berdasarkan umum nas hadis Nabi SAW:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الْحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya: Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya (Riwayat Abu Daud, al-Turmuzi, al-Nasa’ie, Ibn Majah)

Berdasarkan hadis ini, Syeikh Abdullah bin Bassam berkata, semua bangkai haiwan laut adalah halal. Kami perkuatkan hujahan dengan keharusan ini berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanannya.” (Surah al-Ma’ida: 96)

Umar bin al-Khattab RA berkata: “Binatang buruannya, iaitu apa sahaja yang dapat ditangkap di laut, dan makanannya pula, iaitu apa yang dilemparkan laut ke pantainya dari binatangnya.

Ibn Abbas berkata: Maknanya iaitu bangkai-bangkai yang dikeluarkan daripada perutnya.” Begitu juga sebarang bentuk haiwan yang tidak ada nas qati’ie pengharamannya maka hukumnya adalah halal. Ini berdasarkan kaedah

الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ
Maksudnya: Asal pada sesuatu itu adalah harus.

Jenis haiwan yang boleh dimakan adalah binatang yang tidak memudaratkan kesihatan kita. Ini selaras dengan hadis Nabi SAW

َلَا ضَرَرَ وَلا ضِرَار
Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.” (Riwayat Ibn Majah, no. 2341)

Berdasarkan kepada amalan sebahagian masyarakat Malaysia yang memakan belangkas, maka didapati tiada kesan kemudaratan atau keracunan terhadap mereka. Ini menjadi bukti dengan jelas tentang keharusan memakan belangkas.

Berkenaan dengan telurnya pula, jika binatang tersebut boleh dimakan yang menjadi induk atau ibu, maka telurnya juga boleh dimakan. Ini berdasarkan kaedah

التَّابِعُ تَابِعٌ
Maksudnya: “Yang mengikut itu mengambil hukum yang mengikut asalnya. Begitu juga dengan kaedah

الْفَرْعُ يُتْبِعُ الْأَصْل
Maksudnya: “Anak atau cabang mengikut hukum ibu atau asalnya.”

Ibn al-Arabi berkata: “Ada 3 pendapat tentang maksud ayat ini:

Semua jenis binatang yang ditangkap dari laut.Yang dimaksudkan dengan buruan laut ialah ikan-ikannya. Pendapat ini dikatakan oleh Mujahid.Yang dimaksudkan ialah ikan keli.

Pendapat ini dikatakan oleh Ibn Jubair. Ketiga-tiga pendapat ini merujuk kepada satu pendapat iaitu kesemuanya merujuk kepada maksud ikan dari sudut tafsirannya.

Dari sudut istisqa’ (kefahaman yang diperolehi daripada perkataan buruan) ia membawa maksud binatang yang cuba ditangkap dengan menggunakan usaha dan susah payah manusia.

Pengertian ini termasuk dalam ertikata pendapat yang pertama iaitu semua jenis binatang yang ditangkap dari laut.

Inilah permasalahannya. Ayat ini seolah-olah mengatakan: Dihalalkan kepada kamu untuk mengambil ikan-ikan yang terdapat di dalam laut dengan berusaha mendapatkannya, dan dihalalkan kepada kamu makanannya (didapati dari laut), iaitu yang diambil tanpa usaha dan susah payah

Kesimpulan : Hal ini bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya.

Muzakarah telah memutuskan seperti berikut: Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa tiada nas qati’e yang mengharamkan manusia memakan belangkas.

Pakar Haiwan Hidupan Air menyatakan bahawa belangkas adalah haiwan yang hidup di laut dalam dan hanya naik ke pantai untuk bertelur.

Ia adalah sejenis haiwan satu alam yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar dan ia tidak boleh kekal hidup di darat kerana bernafas menggunakan insang.

Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama’ yang menyatakan bahawa haiwan yang tinggal di dalam laut semata-mata dan tidak boleh hidup tanpa air adalah halal dimakan,

Maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan daging/isi dan telur belangkas adalah diharuskan.

Sumber: Saidila.com

Mohon Subscribe Channel Nasihat Ustaz, Semoga Ada Amalan Kita Untuk Hari Ini, Jom Buat Saham Untuk Akhirat