Cara Menyedarkan Suami Yang Mengabaikan Solat
Info Menafaat :Inilah Cara Menyedarkan Suami Yang Mengabaikan Solat | SOALAN : Sebagai seorang isteri, bagaimanakah caranya untuk menyedarkan suami yang mengabaikan solat dan ibadah lain (terutama waktu Subuh).
Adakah terdapat sebarang doa khusus atau cara-cara lain yang lebih berkesan? Saya sudah puas berdoa dan menasihati suami.
JAWAPAN : Puan hendaklah meneruskan berdoa di samping berdakwah kepada suami dengan cara yang baik dan berhikmah. Di samping itu, hendaklah mengejutkan suami setiap waktu pagi Subuh.
Adapun soal dia tidak mahu menunaikan solat, maka hukumnya terlepas daripada pihak puan. Dalam kitab al-Kabir (hal.32) oleh Imam al-Zahabi ada menyebut sebuah hadis:
إِنَّ اَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ فَإِنْ صَلٌحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ
Maksudnya: “Pertama-tama sekali yang akan dihisab pada diri seseorang di hari kiamat dari amalnya, iaitu tentang solatnya. Jika solatnya sempurna, maka yang bersangkutan itu akan menang dan berhasil.
Dan jika solatnya itu tidak benar, maka yang bersangkutan itu akan rugi dan menyesal.” Riwayat al-Tirmizi (413)
Firman Allah SWT:
مَا سَلَكَكُمْ فِي سَقَرَ ﴿٤٢﴾ قَالُوا لَمْ نَكُ مِنَ الْمُصَلِّينَ ﴿٤٣﴾ وَلَمْ نَكُ نُطْعِمُ الْمِسْكِينَ ﴿٤٤﴾ وَكُنَّا نَخُوضُ مَعَ الْخَائِضِينَ ﴿٤٥﴾ وَكُنَّا نُكَذِّبُ بِيَوْمِ الدِّينِ ﴿٤٦﴾ حَتَّى أَتَانَا
الْيَقِينُ ﴿٤٧﴾ فَمَا تَنْفَعُهُمْ شَفَاعَةُ الشَّافِعِينَ
Maksudnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab:
Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang, dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan.
Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini. Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (Kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu. (Surah al-Muddasir: 42-48)
Antara cara lain, puan boleh menghadiahkan kepada suami puan buku-buku atau cakera padat yang menjurus kepada pahala bagi yang melakukan solat fardu dan sunat di samping ancaman serta bala kepada yang meninggalkannya.
Antara buku yang dicadangkan ialah al-Kaba’ir (Dosa-dosa Besar) yang dikarang oleh Imam al-Zahabi yang sudah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.
Begitu juga puan boleh meminta nasihat daripada ibu bapa dan mertua dengan penuh hikmah untuk sama-sama mengajak dalam mendirikan solat.
Puan juga boleh mengajak anak-anak untuk sama-sama mendirikan solat jemaah dan sama-sama menuju ke masjid dengan cara ini akan terdakwah dengan sendirinya suami puan.
Akhir kalam, sentiasalah berdoa dan munajat kepada Allah agar terbuka hatinya untuk melaksanakan kewajipan yang Allah fardukan.
Akhukum fillah Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan 13 Syawal 1436H bersamaan 29 Julai 2015
Mohon Subscribe Channel Nasihat Ustaz, Semoga Ada Amalan Kita Untuk Hari Ini, Jom Buat Saham Untuk Akhirat