7 Tips Mendapatkan Keberkatan Ilmu

Menuntut ilmu merupakan suatu tuntutan di dalam Islam. Banyak disebutkan di dalam al Quran dan hadis tentang kelebihan yang akan diperoleh bagi mereka yang menuntut ilmu. Begitulah pentingnya bagi kita untuk menuntut ilmu.

“Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, Maka Allah akan memudahkan baginya satu jalan ke syurga”. Allah juga menyebut di dalam Al Quran di dalam Surah Al Mujadalah yang mana bermaksud “ Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat.”
-Riwayat Muslim

Namun apa yang terjadi pada masa kini ialah ramai orang sudah memiliki ilmu, tetapi ilmu itu semakin menjauhkannya daripada Allah dan hilang keberkatan di dalam ilmu yang dimiliki.

Ada 7 tips mendapatkan keberkatan di dalam ilmu yang dimiliki agar ilmu yang kita miliki boleh memberi kebaikan kepada dunia dan akhirat kita. Mari sama-sama kita lihat dan fahami :

#1 – Niat Mencari Ilmu Kerana Allah

Daripada Amirul mukminin Abu Hafs, Umar bin Al khattab R.A katanya : “Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda;

“Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat, dan setiap orang mendapat pahala berdasarkan apa yang dia niatkan. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrah itu adalah bagi Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah kepada dunia yang dia ingin memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin menikahinya, maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang dia niatkan.”
Riwayat Bukhari dan Muslim

Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. Maka niatlah mencari ilmu itu untuk mendapatkan keberkatan dan keredhaan daripada Allah.

Apabila kita berniat mencari ilmu kerana Allah maka Allah akan mempermudahkan untuk kita urusan untuk mendapatkan ilmu tersebut.

Ilmu yang dicari dengan alasan selain Allah contohnya untuk mendapatkan pengiktirafan dunia, kekayaan dan harta benda untuk mendapatkan pujian dan sanjungan orang lain akan membawa kepada kerosakan.

#2 – Beramal Dengan Ilmu Yang Dimiliki

Sekiranya kita tidak beramal dengan ilmu yang dimiliki maka semakin kuranglah keberkatan ilmu itu.

Mempunyai ilmu yang banyak tetapi tidak beramal maka seolah-olah ianya tidak memberi sedikitpun manfaat kepada kita. Ucapan Fudhail bin ‘Iyadh Rahimahullah;

“Seorang alim itu masih dianggap jahil (bodoh) apabila dia belum beramal dengan ilmunya. Apabila dia sudah mengamalkan ilmunya,maka jadilah dia seorang yang benar-benar alim.”

Syeikh Abdurrahman bin Qasim An Najdi Rahimahullah juga mengatakan;

“Amal adalah buah dari ilmu, ilmu itu dicari demi mencapai sesuatu yang lain, fungsi ilmu ibarat sebatang pohon, sedangkan amalan seperti buahnya. Maka setelah mengetahui ajaran agama islam seseorang harus menyertainya dengan amalan. Sebab orang yang berilmu akan tetapi tidak beramal dengannya lebih jelek keadaannya daripada orang bodoh.”

#3 – Mengajarkan Ilmu Kepada Orang Lain

Imam Ahmad mengatakan bahawa;

“Menuntut ilmu dan mengajarkannya lebih utama daripada berjihad dan amalan sunnah yang lain. Ini kerana ilmu adalah asas dan pokok kepada segala urusan, bahkan ianya merupakan ibadah paling agung serta kewajipan kolektif yang paling ditekankan. Bahkan dengan ilmulah, Islam dan kaum muslimin tetap teguh.”

Di dalam hadis juga Rasulullah S.A.W juga telah bersabda yang mana bermaksud;

“Sampaikan dariku walaupun hanya satu ayat”
– Riwayat Bukhari

Di dalam hadis tersebut boleh kita mengambil pengajaran bahawa Rasulullah S.A.W sendiri menyatakan tentang pentingnya untuk mengajarkan ilmu kepada orang lain.

Bayangkan orang lain mendapat manfaat hasil daripada ilmu yang kita ajarkan? Pastinya ilmu itu akan memberi keberkatan kepada diri kita hasil daripada kita mengajarkannya kepada orang lain.

 

#4 – Tidak Menggunakan Ilmu Untuk Mendapatkan Nikmat Dunia

Apa-apa sahaja perbuatan atau perlakuan kita yang mana mencari selain daripada Allah S.W.T maka ianya akan hilang keberkatan dan malah dimurkai oleh Allah.

Ramai orang menggunakan ilmu untuk mengejar populariti ataupun supaya dipuja dan dipuji orang lain diatas ilmunya.

Berlagak alim dan mengetahui semua perkara hingga terkadang salah dalam memberi jawapan atau hujahan sehingga mengelirukan masyarakat.

Ada juga yang menggunakan ilmu untuk mendapatkan kekayaan dan terlalu bermewah-mewah dengan dunia sehingga kadang-kadang meletakkan harga tertentu yang terlalu tinggi dan tidak bersesuaian sehingga menyebabkan masyarakat sukar untuk mendapatkan ilmu tersebut.

Gunakan ilmu yang kita miliki untuk mendekatkan diri kita kepada Allah dan juga untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Barulah ilmu yang dimiliki akan mendapat keberkatan di sisi Allah.

 

#5 – Tidak Sombong Dengan Ilmu Yang Dimiliki

Ingat lagi tak kisah Nabi Adam A.S dan Iblis? Kenapa iblis menolak untuk bersujud kepada Nabi Adam sehingga Allah mengusirnya daripada syurga dengan penuh kehinaan?

Ya jawapannya kerana kesombongan iblis untuk bersujud kepada Nabi Adam A.S kerana iblis menyangka dia lebih hebat daripada Nabi Adam A.S jadi kenapa dia harus bersujud kepada Nabi Adam.

Penyakit sombong ini adalah penyakit yang berbahaya tidak kiralah didalam apa juga hal dan keadaan. Begitu juga jika seseorang itu sombong dengan ilmu yang dimilikinya.

Contohnya “dengan ilmu yang dia ada, maka dia menganggap dialah yang paling tahu dan orang lain semuanya jahil”. Allah berfirman yang bermaksud;

“Dikatakan (kepada mereka), ‘Masukilah pintu-pintu neraka jahanam itu, (kamu) kekal di dalamnya, ‘Maka (neraka jahanam) itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang yang menyombongkan diri.
Surah Az-Zumar :72

Hendaklah kita sentiasa merendah diri dan ingatlah apa yang kita miliki semuanya adalah pemberian daripada Allah. Semakin kita sombong maka semakin jauhlah kita daripada Allah dan semakin hilanglah keberkatan ilmu yang kita miliki.

#6 – Menjaga Adab Dengan Ilmu

Kita tentu marah bukan kalau orang nak minta sesuatu dengan kita tetapi dia minta dengan cara yang kasar dan tidak sepatutnya? Mesti kita marah dan tak suka kan? Kita mesti akan begitahu tak ada adab la kan?

Mesti kita rasa tak nak bagi barang yang dia minta kan? Sama juga halnya dengan ilmu. Untuk memiliki ilmu dan mendapat keberkatan dari ilmu yang kita miliki. Kita perlu berusaha untuk menjaga adab dengan ilmu tersebut.

Contohnya bermula dari buku atau kitab itu sendiri. Letakkan buku-buku kita di tempat yang lebih tinggi.

Menjaga adab dengan ilmu juga termasuk cara kita ketika ingin menerima ilmu tersebut dengan guru. Kita perlulah duduk di dalam keadaan yang penuh sopan dan beradab, Berikan sepenuhnya perhatian ketika guru mengajar dengan tidak bermain-main, bercakap-cakap, bermain telefon dan sebagainya.

#7 – Berguru Dengan Guru Yang Alim

Sangat penting untuk para penuntut ilmu untuk mencari guru yang alim. Guru yang alim akan membawa kita ke arah keberkatan ilmu. Berkata Muhammad bin Shin Rahimahullah Ta’ala;

“Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kalian mengambil agama kalian”.

Salah satu cara juga untuk mendapatkan ilmu yang berkat adalah dengan berguru dengan guru yang baik dan alim dengan ilmunya. Pemilihan guru ini adalah penting supaya ilmu yang kita dapat itu tidaklah tergelincir dari kebenaran yang sebenarnya lebih-lebih lagi ilmu itu ialah ilmu agama.

Di sini saya kongsikan satu cara untuk mengetahui guru yang sesuai untuk kita menimba ilmu yang mana menurut Habib Ahmad Bin Zain Al Habsyi berkata;

“Tanda seorang guru alim yang dapat dipercayai adalah yakni orang yang engkau ingin mengambil ilmu agama daripadanya adalah takut kepada Tuhannya dan tanda takut itu boleh dilihat daripada perbuatannya. Jika engkau tidak mendapatinya sedemikian maka tinggalkan dan jangan mengikutinya”

Berdasarkan cara-cara yang saya kongsikan diharap kita sama-sama beroleh keberkatan di dalam ilmu yang dimiliki.

Kita juga perlulah sentiasa berusaha untuk sentiasa mencari ilmu-ilmu yang bermanfaat. Sebelum saya akhiri saya kongsikan beberapa kalam hikmah berkaitan kepentingan ilmu yang bermanfaat yang mana Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata;

“Ilmu itu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga engkau dan engkau menjaga harta. Ilmu menjadi penghukum (hakim) dan harta terhukum. Harta itu kurang apabila dibelanjakan tapi ilmu bertambah bila dibelanjakan.”

Manakala Imam syafie juga ada menyebut bahawa;

“Bila kau tidak tahan lelahnya belajar, maka kau harus tahan menanggung perihnya kebodohan”.

Sumber: Tazkirah.net

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *