5 Langkah Kembali Menyayangi Al-Quran.

Al-Quran adalah sebuah buku istimewa yang tidak pernah lupa kepada kita. Ayat-ayat di dalamnya sentiasa mengingatkan kita berkali-kali bahawa dunia ini hanyalah terminal sementara sahaja.

Waktu kita kecil-kecil dahulu, Mak suruh kita belajar mengaji. Kalau malas belajar, Ayah pun marah.

Kita belajar mengaji untuk rasa selamat. Selamat dari disuruh-suruh atau dimarahi.

Mak dan Ayah pun rasa selamat kalau kita boleh mengaji. Lebih selamat waktu kita berjaya khatam Al-Quran.

Kita pun rasa selamat sangat pada masa itu.

Masa berlalu kita pun sibuk dengan belajar, keluarga, kerja dan semuanya. Sekali-sekala terlihat Al-Quran, rasa sedih juga dalam hati. Lama tidak membaca buku kesayangan ini. Dahulu dikendong penuh kasih-sayang ke sana dan ke mari.

Entah kenapa bila kita membaca semula sepotong dua ayat di situ, ada rasa tenang menyusup ke dalam hati. Rasa tenang yang tidak dapat diberi oleh dunia dan segala isi di dalamnya.

Kenapa rasa begini ya? Atau sebenarnya kita rindu untuk membaca Al-Quran seperti dahulu? Rindu buku kesayangan peneman zaman kanak-kanak dan awal remaja kita? Buku yang sentiasa menyelamatkan kita, dan buat ibu bapa kita rasa lega kalau kita tahu membacanya.

Jangan abaikan rasa rindu ini kerana mungkin hati kita sedang disapa Ilahi. Memang bukan mudah mendidik hati meluangkan masa berteleku membaca Al-Quran semula. Tetapi jika dimulakan dengan langkah yang kecil dan mudah, pasti semuanya tidak menjadi mustahil untuk dilakukan.

Ikuti 5 langkah paling mudah ini untuk kita belajar menyayangi Al-Quran semula.

1. Niat yang ikhlas

Bertuahnya menjadi umat Nabi Muhammad saw, berniat melakukan kebaikan pun sudah mendapat pahala. Sebut dengan jelas kepada diri sendiri, saya ingin tekun mengaji Al-Quran semula kerana:

[+] ingin menjadikannya pelindung di akhirat kelak
[+] ingin merasa tenang yang tiada tolok-bandingnya
[+] ingin mencari redha Ilahi

Tanya pada hati sendiri kenapa kita ingin membaca Al-Quran semula. Sebutkan niat ini dengan jelas. Percayalah Allah swt pasti mendengar dan akan memudahkan urusan kita nanti, asalkan kita tidak berputus-asa.

“Sungguh, Allah mengetahui yang ghaib (tersembunyi) di langit dan di bumi. Sungguh, Dia Maha Mengetahui segala isi hati”.

-Surah Al-Fathir: Ayat 38
2. Ini Al-Quran dan Terjemahan saya!

Ini bahagian yang menarik juga.

Dapatkan satu Al-Quran beserta Terjemahan kita sendiri, yang baru di kedai buku agama berdekatan. Mengambil sedikit wang di dalam dompet untuk membeli buku paling istimewa begini pasti tidak akan merugikan. Beli yang dekat di hati, mungkin kecil agar mudah digenggam dibawa ke mana-mana, atau dengan cover warna pilihan. Jadikan ia buku peribadi, buku kesayangan kita selama-lamanya.

Kenapa perlu terjemahan pula? Seperti bercinta, jika hendak mengenali hati budi seseorang, pastilah kita perlu memahaminya dahulu betul tak? Jadi kali ini kita baca Al-Quran dengan terjemahannya sekali. Barulah bercinta namanya!

3. Mula membaca

Adakalanya perkara paling susah untuk dibuat adalah untuk bermula. Cari kekuatan untuk mula membaca Al-Quran semula, kali ini dengan misi lebih jelas – untuk belajar memahaminya juga (melalui terjemahan).

Perkataan pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw adalah Iqra’ atau “bacalah”. Walaupun kita mampu membeli Al-Quran paling mahal dan cantik, buku ini tidak akan dapat membantu kita sekiranya terbiar menjadi perhiasan di dalam almari kaca.

Lama tidak membaca Al-Quran rasa kurang cekap pula. Jangan risau.

“Orang yang membaca Al-Quran dengan mahir adalah bersama para malaikat yang mulia lagi taat, sedangkan orang yang membaca Al-Quran dengan tergagap dan susah membacanya baginya dua pahala”.

-Riwayat Muttafaq Alaih
Betapa sayangnya Allah swt pada kita. Tidak pandai baca pun dapat pahala!

4. Tekun menghayati

Meluangkan masa setiap hari untuk membaca Al-Quran agak mencabar juga jika kita terbiasa sibuk dengan urusan harian. Letak satu misi yang mudah dicapai seperti 1 hari = 1 mukasurat dahulu. Pilih waktu yang kurang gangguan seperti di awal pagi atau pun sebelum kita melelapkan mata. Tekun mengikuti jadual ini sehingga kita merasa tidak selesa jika tidak sempat membaca Al-Quran.

Oh ya jangan lupa tandakan ayat-ayat yang menyentuh hati kita. Kadangkala kita akan bertemu dengan jawapan yang kita cari-cari pada mukasurat Al-Quran yang kita selak pada hari itu. Ini bukan kebetulah tetapi Allah swt telah menghantar jawapan dan panduan terus kepada kita, di saat-saat kita perlukannya.

“Dan sungguh, telah Kami mudahkan Al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pengajaran?”

-Surah Al-Qamar: Ayat 22
5. Amal dan baiki diri

Al-Quran adalah sebuah buku istimewa yang tidak pernah lupa kepada kita. Ayat-ayat di dalamnya sentiasa mengingatkan kita berkali-kali bahawa dunia ini hanyalah terminal sementara sahaja. Masalah dan dugaan di dunia ini akan dirasakan seperti debu yang berterbangan jika kita sentiasa membaca buku penyejuk hati ini, serta berusaha memperbaiki bacaan dan pemahaman kita.

Menyayangi Al-Quran = Kita baca + fahami + sentiasa perbaiki diri.

Jika dunia ini menduga kita, kita kembali kepada Al-Quran.

Jika hati merasa bahagia, kita ambil Al-Quran dan baca lagi.

Jika merasa kehilangan, dakap Al-Quran ini dan rasakan diri sangat disayangi.

Kembali menyayangi Al-Quran = Kembali ke jalan Ilahi.

“Sungguh, (ayat-ayat) ini adalah peringatan, maka barang siapa mengkehendaki (kebaikan bagi dirinya) tentu dia mengambil jalan menuju Tuhannya”.

-Surah Al-Insan: Ayat 29
Dengan umur kita yang semakin meningkat, rasa tenang adalah prioriti dalam hidup ini.

Begitu juga dengan rasa selamat, tentang apa yang kita cari dalam hidup ini.

Dengar bisikan hati kita yang ingin kembali meneliti buku istimewa Al-Quran yang sentiasa memberi rasa selamat sejak dahulu, kini dan akan menyelamatkan kita suatu hari nanti.

Pada hari-hari di mana air mata kita menitis sewaktu membaca Al-Quran ini, adalah hari di mana hati kita sudah mula terbuka untuk menyayanginya semula.

Selamat membaca Al-Quran semula.

Semoga beroleh rasa tenang dan selamat yang dicari.

“Wahai jiwa yang tenang!
Kembalilah kepada TuhanMu dengan hati yang redha dan diredhaiNya.
Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu.
Dan masuklah ke dalam syurgaKu”.

-Surah Al-Fajr: Ayat 27-30

KONGSIKAN TAZKIRAH INI