Surah-surah Yang Dibaca Oleh Rasulullah SAW Pada Hari Jumaat – Sama-sama Kita Amalkan

Jom amalkan surah-surah berikut yang pernah dibaca oleh Rasulullah SAW pada hari Jumaat.

Sebaik-baik hari dalam seminggu adalah hari Jumaat. Penghulu segala hari ini juga diibaratkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai hari raya mingguan buat umat Islam.

Bagi menghormati hari mulia ini, para fuqaha sering mengingatkan kita memperbanyakkan ibadah dan amalan sunat seperti bersedekah dan berjalan kaki ke masjid untuk solat Jumaat.

Tambahan pula, hari Jumaat termasuk antara waktu ALLAH SWT mengabulkan doa hamba-hambaNYA seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Pada hari Jumaat itu (terdapat) dua belas (masa, di mana ada satu masa) yang tiada seorang Muslim pun yang berdoa kepada Allah kecuali Allah akan mengkabulkan doanya, maka bersegeralah untuk mendapatkannya pada waktu-waktu akhir setelah Asar.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Selain itu, tahukah anda bahawa ada beberapa surah yang sering dilazimi oleh Nabi SAW pada hari Jumaat?

Bukan itu sahaja, anda juga boleh mengamalkan surah-surah tersebut untuk meraih pahala hari Jumaat:

1. Surah al-Kahfi.

Surah pertama ini sudah pun dikenali dalam kalangan umat Islam untuk dibaca pada Hari Jumaat. Fadhilat membaca surah al-Kahfi ada disebutkan dalam sebuah hadis daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Barangsiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan dipancarkan cahaya untuknya di antara dua Jumaat.” (Hadis riwayat Hakim dan Baihaqi).

2. Surah as-Sajadah dan al-Insan.

Kedua-dua surah as-Sajadah dan al-Insan termasuk surah yang biasa dibaca oleh Rasulullah SAW pada Hari Jumaat, khususnya sewaktu solat Subuh.

Kata Abu Hurairah RA, “Sesungguhnya pada solat Subuh hari Jumaat, Rasulullah SAW membawa Surah al-Sajadah (Alif lam mim, tanzil) dan Surah al-Insan (Hal ata ‘alal insan”).” (Hadis riwayat Bukhari).

3. Surah al-Jumuah dan al-Munafiqun.

Dari Ibnu Abu Rafi’ RA, katanya: “Pada suatu ketika, Khalifah Marwan pernah meminta Abu Hurairah supaya menggantikannya di Madinah, sementara Marwan pergi ke Mekah. Maka pada suatu hari Jumaat, Abu Hurairah mengimami kami solat Jumaat.

“Dia membaca surah Jumaah pada rakaat pertama, dan surah Munafiqun pada rakaat kedua. Setelah selesai solat, ku temui Abu Hurairah lalu ku katakan kepadanya: Kedua surah yang anda baca tadi pernah dibaca oleh Ali bin Abi Thalib ketika dia berada di Kufah.

Jawab Abu Hurairah, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW membacanya dalam solat Jumaat.” (Hadis riwayat Muslim).

4. Surah al-A’laa dan al-Ghasyiyah.

Sebuah hadis daripada Nu’man bin Basyir menyebut: “Biasanya Rasulullah SAW membaca surah al-A’laa dan surah al-Ghasyiyah di waktu solat Jumaatnya. Demikian pula jika hari raya bertepatan dengan hari Jumaat, maka beliaupun membaca kedua-dua surah itu di waktu solat raya dan solat Jumaat.” (Hadis riwayat Nasai).

Hanya kerana wujud beberapa surah yang biasa dibaca oleh Nabi SAW pada hari Jumaat, ini tidak bermakna kita dilarang membaca surah yang lain.

Hakikatnya, sebagai umat Islam, tiada pendamping yang lebih baik melainkan kitab al-Quran. Bukan sekadar hari Jumaat, bahkan ayat-ayat suci Allah sepatutnya meniti di bibir kita sepanjang masa dan di mana-mana sahaja.

Sumber Sinar Islam

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen, Like Dan Share Ya… Terima Kasih.

Pihak Nasihat Ustaz tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi pemilik akaun, segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun itu sendiri.

Dihárámkan ‘copy’ tanpa meletakkan kredit.